Isnin, 8 November 2010

PANDUAN MENJADI IBU BAPA CEMERLANG


Ibu bapa perlu mempelajari pelbagai panduan dan kaedah yang diajar oleh Quran dan hadis, para kaunselor dan pendidik supaya berjaya mempraktikkan dalam mendidik anak-anak.

Antara panduan yang patut dipraktikkan oleh ibu bapa dibincangkan di bawah.


Memberi Asas Ilmu Agama kepada Anak-anak.


Ilmu agama adalah antara ilmu yang diwajibkan oleh Allah supaya dipelajari oleh orang Islam. Ilmu agama bukan sahaja mendidik umatnya melakukan perbuatan ibadah seperti solat dan puasa tetapi juga mendidik rohani manusia. Apabila ibu bapa mampu mendidik anak-anak sekurang-kurangnya asas ilmu agama, anak-anak akan belajar menghayati agama semenjak kecil lagi.


Ilmu agama mempunyai pelbagai cabang dan formula. Antara ilmu agama yang patut ditanam oleh ibu bapa ke dalam jiwa anak-anak adalah ilmu tasawuf iaitu ilmu yang boleh membersihkan fizikal dan mental seseorang. Sebagai contoh, ilmu tasawuf mengajar orang Islam supaya sentiasa takutkan Tuhan dengan menjauhi segala perkara haram.


Ilmu tasawuf juga mendidik orang Islam supaya sentiasa takutkan Tuhan dalam keadaan sembunyi ataupun terang-terangan. Apabila anak itu ditanam dengan sifat takutkan Tuhan semenjak kecil lagi, anak tidak mungkin berani melakukan perbuatan haram dan menyalahi undang-undang terutamanya di belakang ibu bapa kerana ia sentiasa mengingati Tuhan yang melihat apa jua yang dilakukan olehnya.


Sikap ibu bapa yang menyerahkan 100 peratus kepada guru agama di sekolah untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anaknya patut diubah. Ibu bapa perlu juga mempelajari ilmu agama dengan betul supaya mampu mendidik anak-anak dan menanam ilmu agama ke dalam jiwa anak semenjak anak itu kecil lagi. Anak-anak berasa lebih bertuah dan berbangga andainya guru yang mengajar membaca Quran adalah ibu bapa mereka. Ibu bapa perlu juga menimba ilmu agama bagi memantapkan diri sebagai ibu bapa yang beragama. Jika ibu bapa menjadi ibu bapa yang berilmu dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak, maka anak akan belajar lebih menyayangi dan menghormati ibu bapanya berbanding ibu bapa yang hanya tahu memberi makan dan minum semata-mata.


Anak lebih rapat dan berterima kasih kepada ibu bapa apabila ibu bapa mampu memberi ilmu pengetahuan yang berfaedah terutamanya ilmu agama.Anak-anak yang membesar dalam keluarga yang beragama lebih menghayati dan mempraktikkan ilmu agama berbanding anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang jahil dan tidak ingin menambah ilmu agama.


Di negara Malaysia tercinta ini, tidak kurang program agama yang dianjurkan sama ada jawatan kuasa masjid, jabatan agama dan lain-lain. Teruskan menimba ilmu terutama ilmu agama kerana ilmu agama memimpin anda menjadi ibu bapa yang cemerlang, seterusnya melahirkan anak cemerlang.Jadilah guru yang baik kepada anak.


Kewajipan ibu bapa bukan hanya sekadar memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal tetapi juga memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak.


Memang tidak dinafikan cabaran mendidik anak pada zaman globalisasi ini begitu mencabar dan memerlukan ibu bapa sentiasa peka dan komited supaya mampu mendidik anak menjadi manusia berguna. Ibu bapa yang sentiasa menambahkan ilmu dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak akan menjadi ibu bapa yang berjaya dan menjauhkan anak dari terjebak dalam masalah sosial.


Memantau dan Mengambil Tahu Siapa Kawan Anak-anak


Anak-anak yang dibesarkan dengan didikan yang baik oleh ibu bapa bukanlah jaminan anak itu bebas dari gejala sosial kerana pengaruh persekitaran juga boleh menyebabkan anak terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat.


Kawan-kawan adalah pengaruh kuat sekali dalam aktiviti yang tidak sihat. Ibu bapa hanya boleh memantau anak-anak di rumah tetapi tidak di luar rumah.


Apabila anak membesar terutamanya dalam usia remaja, ibu bapa memberi kebebasan untuk anak menentukan tempat yang ingin dituju dan bersama siapa yang ingin dijadikan teman.


Memandangkan kawan boleh mempengaruhi anak kita, ibu bapa patut mengetahui siapa kawan anak supaya anak tidak akan berkawan dengan kawan yang bermasalah.


Ibu bapa patut mendidik anak supaya tahu memilih kawan dan menjauhi kawan yang tidak membawa faedah kepada anak-anak seperti kawan yang suka melepak dan membuang masa, terlibat dalam lumba haram, dadah dan melakukan pelbagai kesalahan sama ada menyalahi agama ataupun undang-undang.


Membuang sikap terlalu percayakan anak.


Apabila ibu bapa terlalu percaya kepada anak-anak, dikhuatiri anak menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa. Sikap suka menuduh juga perlu dielakkan oleh ibu bapa kerana anak yang membesar dengan tuduhan melulu akan melakukan perbuatan yang tidak baik. Jadilah ibu bapa yang peka dan prihatin yang mampu menjadi kawan baik kepada anak-anak.


Memberi Penekanan dalam Pelajaran.


Ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan sempurna dan mampu menjadikan anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Walaupun anak-anak sudah berjaya menjadi mahasiswa, ibu bapa perlu terus memantau anak-anak. Ibu bapa perlu terus menanam ilmu dan iman ke dalam jiwa anak-anak.


Menanam Sifat Sayangkan Ibu Bapa.


Kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak terbentuk sejak anak-anak itu lahir lagi. Kasih sayang adalah ubat dan penawar dalam segala masalah. Ibu bapa yang bijak dan baik adalah ibu bapa yang mendidik anak-anak supaya menyayangi ibu bapa.Jangan biarkan anak-anak rasa tersisih dan terbiar.


Cuba Menyelesaikan Masalah Anak-anak.


Ibu bapa yang sentiasa rapat dan menjadi teman setia anak-anak akan sentiasa membantu anak dalam menyelesaikan masalah. Walaupun ibu bapa sibuk bekerja, ibu bapa juga perlu meluangkan masa mendengar luahan atau masalah yang dihadapi oleh anak-anak.


Ingatlah, kejayaan mendidik anak bukan mudah. Justeru, ibu bapa patut berusaha menjadi ibu bapa berilmu supaya dapat mencorakkan anak-anak dengan ilmu yang berguna. Apabila ibu bapa mencurahkan ilmu yang berfaedah ke dalam minda anak-anak, dengan izin Allah anak-anak mampu membezakan perkara baik dan buruk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan